Tuesday, February 1, 2011

Al Fatihah Buat Abah Tercinta

 Tanggal 26 Januari 2011 bersamaan 21 Safar 1432 Hijrah jam 1:15 pagi waktu malaysia, telah ditentukan oleh Allah bahawa abah dijemput kembali kepada Penciptanya.

Aku telah bercadang untuk pulang menziarahi keluarga pada cuti tahun baru cina (seminggu kemudian) , itu perancangan aku tapi perancangan Allah mendahuluinya. Maka aku hanya dapat menatap wajah abah yang telah kaku. Sedih, kesal, terkilan semua ada tak kala mendapat berita tersebut. Terkilan kerana tidak segera pulang semasa emak bagi tau abah dah makin lesu, emak hanya cakap baliklah raya cina nanti, perancangan Allah, tiada upaya untuk mencepat atau melambatkan walaupun sedetikpun. Tapi aku tetap bersyukur kerana pemergian abah diawal pagi, jadi aku ada masa untuk bertolak dari utara ke pahang untuk menatap juga mencium pipi dan dahi dingin abah buat kali terakhir.

Kali terakhir aku memeluk ayah dan merasai kehangatan tubuh tua abah ialah semasa hendak kembali ke utara selepas hari raya aidul fitri yang lalu, hari raya aidul adha tidak dapat kembali kerana 'comitted' dengan ibadah qurban di taman perumahan tempat aku tinggal dan anak akan menduduki SPM. Aku berjanji dengan mereka untuk kembali meziarahi mereka pada tahun baru cina. TAPI ITU SUDAH TERLAMBAT RUPANYA.

Aku tiba ke rumah keluarga aku dalam pukul 10.00 pagi (kakak & adik aku dah sampai awal lagi, aku paling jauh), selepas menatap wajah abah, urusan pengurusan mayatpun dibuat kerana abah pernah pesan agar disegerakan pengkebumiannya. Aku juga puas hati kerana untuk perjalanan abah dari alam fana ini ke alam barzah berjalan lancar. Aku yang mengunting kain kapan, menyusun kapas-kapas, menabur kapur barus dan air mawar diatas kain kapannya manakala abah dimandikan oleh menantu, cucu dan sanak saudara, orang luar hanya sebagai pemberi tunjuk ajar kepada kami, begitu juga mengusung abah ke tanah berkuburan, menimbus tanah kubur semua diuruskan oleh anak cucu dan sanak saudara abah. Sebelum solat zuhur semuanya selesai. Alhamdullilah.

Sepanjang perjalanan dari  Utara ke Pantai Timur, sebak ku iringi dengan ingatan semasa kanak-kanak aku dengan abah, bagaimana aku disuruh pijak belakangnya bila balik sekolah, tidur dibawah ketiaknya, lawak 'bodohnya' yang membuatkan kami ketawa, gurau senda, cerita pengalamannya semasa bertugas juga tengkingnya kerana gangguan suara-suara kami semasa dia tidur petang.

Bulan Ramadhan menjadi cukup meriah dan dinantikan kerana abah akan memasak resepi kegemaranya yang juga menjadi kegemaran kami, anak-anaknya, hingga kadang-kadang membuat emak berkecil hati apabila kami memuji masakan abah. Emak akan cakap ' apa tak sedapnya sekerat botol rempah ratus habis hingga lari budget bulanan mak'! Bila menjelang tujuh liko pulak, abah akan beli berpapan-papan 'mercun papan' dan abah akan pasang panjang-panjang dua tiga baris dan akan bakar serentak. Uhh bising sungguh!

Bila aku meningkat remaja, sebagai anak perempuan sentuhan dengan abah semakin kurang sebab emak selalu pesan agar jaga batasan gurauan dengan abah. Lepas SRP aku sambung belajar di sekolah berasrama, lepas tu ke pengajian tinggi dan bekerja (sepanjang itu aku dah hidup sendiri), kemesraan dengan keluarga terutama dengan abah dah makin kurang, terkilan juga rasanya kerana aku kurang berbakti dengan abah juga emak, kiriman wang dan pulang sekali sekala itu tidak cukup rasanya untuk membalas segala pengorbanan mereka.

Abah telah selamat bersemadi, semuga Allah menerima segala amal jariah abah dan mengampunkan segala dosa-dosa abah dan ditempatkan abah dikalangan orang-orang yang beriman.

BUAT ABAH , ATUK-ATUK DAN NENEK-NENEK AKU.

Kepada arwah-arwah :
Mat bin Derahman (Lijah-emak abah)
Abdullah bin Abu Bakar
Mariam
Lijah

ALFATIHAH

Amin

No comments:

Post a Comment