Monday, February 21, 2011

Demam Panas

Pagi ni, aku mai kerja (di utara ni kami keja hari Ahad) 'officemate' aku dengan risaunya bagitau anaknya demam panas & cirit-birit masih belum reda lagi. Beberapa klinik & hospital pun  dah pegi, macam-macam hipotensisi diberi. Aku & yang lain-lain cuma minta dia jangan ambik rengan demam panas ni, ia boleh membawa kecacatan jika panas ke tahap melampau.

Aku bukan nak cerita pasal demam panas ni, aku bukan doktor pun. Cuma aku teringat kisah aku dolu-dolu, masa anak-anak aku kecik. Aku tinggal sebagai 'nuklies family', tiada ibubapa untuk mendapatkan nasihat. Pengalaman semasa anak sulungku agak cemas & lucu juga, anak sulung aku ni setiap bulan mesti beri hadiah kepada doktor (kos rawatanlah). Satu hari tu, nasib baik hari tu hari cuti jadi anak tu di bawah jagaan aku sepenuhnya (tak hantar ke rumah pengasuh). Pagi tu badannya panas sungguh, aku bagi ubat demam (ubat yang memang tersedia di rumah), ubat tu tahan selama 4 jam, selepas tamat tempoh  badannya kembali panas dan kemudian mengigil & kaki tangan mula sejuk (aku ingatkan dia sejuk, akupun bungkuslah dengan selimut 'baby') dan terus pegi klinik. Dalam kereta aku memeluknya kononnya nak panaskan badannya yang aku sangkakan sejuk.

Umurnya masih panjang, semasa menunggu giliran kebetulan aku duduk di pintu, bila pesakit keluar doktor terus nampak aku pangku anak aku yang berbungkus, lalu doktor tu cakap pada nurse 'bagi kak yang pangku budak tu masuk dulu' & nurse pun suruh aku masuk . Bila aku masuk doktor terus ambik anak aku, dia dengan segera membuka selimut, kain bedung & pakaian anak aku sambil berkata 'dia bukan sejuk ni tapi terlampau panas, nanti kena 'tarik',(tak tau pulak 'term' sebenar 'tarik' ni tapi bukan 'tarik' yang satu lagi tu). lalu membawa anak aku ke sink & dimandikan anak aku. Aku terdiam melihat kekalutan doktor tersebut & berdoa semoga Allah memberi kesembuhan dan keselamatan kepada anak aku.

Lepas tu doktor ni memberi sedikit maklumat & kesan tentang bahayanya demam panas ni dan memberi discripsi ubat dan meminta aku datang semula minggu berikutnya. Bab ambik ubat ni aku suruhlah suami aku pi ambik.

Bila balik, aku pun nak bagi makan ubat, bila tang  garam (lupa pulak nama saintifiknya)  yang perlu dilarut untuk minum tu, suami aku cakap 'yang ni dia suruh buat mandi'. Aku heran, 'tak penah pulak ada ubat kena buat mandi, melekitlah badan budak ni nanti, mandi air garam ,' detik hatiku, tapi aku ikut jelah!

Seminggu kemudian, kami pun pegilah bawak anak  aku jumpa doktor, doktor tu ambik anak aku sambil memeriksa anak aku dia pun tanya,'ubat yang saya bagi habis !'. 'Dah, termasuk serbuk yang doktor suruh buat mandi tu', kata aku. Terkejut doktor tu 'itu garam bukan buat mandi tapi untuk diminum, saya ni dah jadi macam bomoh pulak, buat air mandi'. Aku tergelak besarlah. Suami aku diam aje. Lepas keluar dari bilik doktor tu, dia cakap 'Lain kali awak ajelah ambik ubat, saya jaga anak'

Itu kisah anak sulung aku, hero kedua aku juga mengalami demam panas yang lebih mencemaskan aku. Pengalaman anak pertama membuat aku takut setiap kali anak-anak aku demam. Satu hari anak kedua aku ni mengidap demam panas sehingga tahap matanya hanya nampak mata putih je, tanggannya digemgam kemas dan giginya mula kancing, masa tu aku bersendirian dengan 2 anak aku, abah mereka kerja. Dengan 'panicnya aku lari ke rumah jiran (depan rumah aku ialah perkampungan melayu) jiran aku ni pulak tak penah ada masalah anak 'tarik' (anak dia sorang je), dia pun lari ke rumah jiran di belakang rumahnya untuk membantu aku. Kak tu pun ikut aku balik rumah dan meminta aku mejirus anak aku. Aku jirus sekejap dan aku keluarkan dari bilik air, anak aku kembali kejang. Kak ni yang ada pengalaman anaknya 'tarik' telah mengambil anak aku dan kembali ke bilik air dan membiarkan anak aku di pili air yang dibuka semaksima mungkin dan air itu mengalir terus ke kepala anak aku sehingga anak aku kelemasan dan badannya menjadi lemah & longlai, barulah dikeluarkan dari pili air tu. Aku yang melihat anak aku kelemasan merasa amat kesian, kak tu kata memang kena buat macam tu. Lepas tu anak aku keletihan & tidur. Malam tu semalaman aku tak tidur, lebih kurang jan 3 pagi dia kembali kejang, apalagi kami pun bergegas ke unit kecemasan hospital . Aku dan anak aku bermalamlah lebih kurang seminggu di hospital sehingga ia betul-betul sihat. Doktor menasihati aku supaya sentiasa mematau tahap suhu badannya jika demam kerana kemungkinan untuk menjadi 'tarik' akan berlaku. Ia akan berada ditahap selamat selepas mencapai umurnya 7 tahun.

Anak ketiga dan keempat aku tidak mempunyai banyak masalah, mungkin itu hasil dari susu ibu sepenuh masa anak-anak kurang dihidapi penyakit dan lebih rapat dengan aku berbanding anak yang diberi susu tin (tak tergamak nak cakap susu lembu). Ini testomoni  akulah tentang kebaikan susu ibu.
Itulah kenangan aku bersama anak-anak semasa kecil mereka. Kepada ibu-ibu sentiasa mengambil serious jika anak kita sakit, kadang-kadang kita ingat demam biasa rupanya ia boleh membawa maut.





Thursday, February 17, 2011

Bas oh Bas

Semenjak dua menjak ni adalah aku tertengok iklan & sembang di radio tentang galakan untuk menggunakan perkhidmatan awam. Di war-warkan perkhidmatannya dah semakin baik terutamanya bas-bas awam, jadi tak perlulah nak bawak kereta sendiri, kuranglah sesak jalan & akan lancarlah perjalanan. ye ke!

Aku bukan nak ulas kempen @ saranan tu! tapi aku teringat masa dolu-dolu, di mana aku menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur Ibu negara Malaysia sekitar tahun 80-an. Banyak suka, duka, sesak nafas dan kejutan. Masa itu seingat aku hanya ada bas Mini , bas SJ(Srijaya) & beberapa lagi syarikat yang jarang aku gunakan perkhidmatannya. Aku dulu belajar di UTM, Jalan Gurney (kalau naik teksi, bila ditanya nak pegi mana, kami tak cakap UTM tapi sekolah tinggi Ainudin N.C ketika itu), masa tu UTM belum pindah Skudai lagi. Belajar di UTM, bukan semua dapat duduk dalam kampus, ramai yang kena sewa di luar, sekitar Kg. Baru (bakal hilang dari peta Kuala Lumpur) dan Keramat.

Macam ni lah bus tu, tapi jgn haraplah kosong macam ni

Bas Mini,
kalau naik bas ni tak kira jarak bayar je 50 sen (masa tu lah). Sekarang bas ni pun dah jadi sejarah. Kalau naik bas ni jangan beranganlah nak duduk dengan selesa, kalau tak disumbat macam iklan 'milo fuze', selagi boleh letak kaki & tangan boleh paut kat mana-mana bahagian bas tu, naiklah. boleh bawak maut! tapi tak pernah  dengar pulak ada yang mati tercampak dari bas ni. Kental dan kuat sungguh stamina penumpang ketika itu. Kalau dah sumbat macam tu, bayangkan betapa tengit dan letihnya dalam himpitan manusia yang memakan masa berjam jugaklah. Kekuatan tangan & kaki akan diuji bila pemandu membuat brek mengejut, Adoi!

Bas Sri Jaya,
Bas ni lebih sopan sikit, muatan penumpang tidak lah seteruk bas mini. Dulu-dulu depa kata Dato' Yusuf Haslam penah jadi konduktor bas ni, aku tak penah jumpa, mungkin dia ditugaskan di 'route' lain (tahniah dato' kerana berjaya membina kekayaan walaupun aku tak suka cerita dia-sorry dato'). Dengan bas SJ ni aku ade cerita lucu nak cerita. Bas SJ ni besar bukan macam bas mini, satu hari tu aku naik bas ni diluar waktu puncak, jadi penumpangnya tak ramailah. Aku naik bas ni dari UTM ke AU3 (kat keramatlah-ade lagi ke tak rumah sewa tu tak taulah). Perjalanan ke destinasi tu bas akan lalu suatu kawasan berbukit & membelok (Bukit Keramat kot-lupa lak, mungkin jalan ni dah lurus kot). Sebelum tu aku nak cerita 'lay-out' dalam bas ni, bahagian depan nya kerusi disusun menghala ke depan (arah pemandu) adalah dalam 10 baris kot! di belakang bas dibuat kerusi di kiri-kanan dinding bas, jadinya penumpang dikerusi belah kanan dinding akan mengadap penumpang di kiri dinding bas.

Nak jadikan cerita, akibat keletihan menyiapkan tugasan, semasa pulang kelas, naik je bas mulalah mengantuk dan tersengok-sengok menahan mengantuk. Orang taklah ramai, tapi tempat duduk depan dah penuh, aku ambil tempat duduk yang di dinding tulah bersama beberapa orang menumpang lain. Nak jadikan cerita semasa melalui kawasan berbukit dan membelok tu driver telah buat 'lipat maut', maka aku yang mulanya duduk ditempat duduk belah kiri telah berpindah ke tempat duduk belah kanan bas. Bila bas dah bergerak lurus, aku sedar-sedar dah duduk ditempat lain. Masa tu tak dapat nak digambarkan malunya, ade beberapa penumpang senyum-senyum tengok aku dah berpindah tempat, kalau ada kawan bolehlah aku gelakkan diri aku sendiri tapi aku sorang je, buat dek jelah. Bila aku balik rumah sewa cerita kat 'housemate' gelak terguling bukan kesian pun. Tapi bila diingat balik memanglah lucupun.

Satu hari lain, aku naik bus SJ ni, penumpang tidak begitu ramai, bila aku naik dah tak ada 'sit' kosong, maka akupun berdiri. Bas SJ ni, untuk penumpang berdiri, disediakan tali-tali yang dipasang pada rod besi di tengah bumbung bas, sapa-sapa yang berdiri berpautlah pada tali tu untuk elakkan diri dari terjatuh. Aku pun bergantunglah pada tali tu (kalu nak pegang terus rod besi tu pun boleh, tapi aku tak cukup inci-ketotlah) maka terpaksalah pegang pada tali je! nak jadikan cerita masa sedang berdiri tu (aku berdiri ditengah-tengah bas, depan & belakang aku adelah 2-3 orang). Sedang akal aku menerawang ke alam lain (selalunya pikir nak makanlah-nak masak ke, nak beli), 'driver' tiba-tiba menekan brek (driver bas ni banyak yang 'gila-gila'). Apa lagi aku yang dalam kondisi tidak bersedia ni terus melurut ke depan  dan melanggar penumpang depan aku dan terus menghimpit mereka ke depan hingga ke tempat pemandu. Belakang pemandu tu ade jaring besi, maka jadilah 'sandwich' kat besi tu!, nak kata apa, mintak maaflah-marah ke! tak ke! dah jadi nak wat cam ne!. Malu jugaklah, tapi kat KL ni kadang-kadang depa  tak kisahpun. Sejak tu kalau berdiri, aku tak pegang dah tali tu, aku akan pegang besi di kerusi - tak lagi bergayut macam beruk tu.

Sebagai penumpang tetap bas ni dan selalu menggunakan 'route' yang sama, kita akan menjadi kawan pulak dengan driver & konduktor bus dan ada ketikanya mereka sanggup menunggu kita jika mereka melihat kami masih terhegeh-hegeh berlari untuk menaiki bas dan akan bertanya khabar jika lama tidak melihat aku dan kawan-kawan menaiki bas.

Banyak lagi masam-manis jadi penumpang & duduk di KL, kini dah tak tau nak naik bas awam lagi. Tinggal di zon selesa di Utara tanah air tiada lagi hiruk pikuk kota yang meletihkan. Biar dikatakan Bandaraya Kampung, aku selesa disini, walaupun ia bukan negeri kelahiran atau tempat bermain tapi ia tempat aku mencari rezeki. Alhamdullilah

Di kesempatan lain, akan aku coretkan kenangan pahitku menaiki bas ekspress pula.

KEPADA YANG MASIH MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM SENTIASA BERHATI-HATI DAN BANYAK BERSABAR

Tuesday, February 1, 2011

Al Fatihah Buat Abah Tercinta

 Tanggal 26 Januari 2011 bersamaan 21 Safar 1432 Hijrah jam 1:15 pagi waktu malaysia, telah ditentukan oleh Allah bahawa abah dijemput kembali kepada Penciptanya.

Aku telah bercadang untuk pulang menziarahi keluarga pada cuti tahun baru cina (seminggu kemudian) , itu perancangan aku tapi perancangan Allah mendahuluinya. Maka aku hanya dapat menatap wajah abah yang telah kaku. Sedih, kesal, terkilan semua ada tak kala mendapat berita tersebut. Terkilan kerana tidak segera pulang semasa emak bagi tau abah dah makin lesu, emak hanya cakap baliklah raya cina nanti, perancangan Allah, tiada upaya untuk mencepat atau melambatkan walaupun sedetikpun. Tapi aku tetap bersyukur kerana pemergian abah diawal pagi, jadi aku ada masa untuk bertolak dari utara ke pahang untuk menatap juga mencium pipi dan dahi dingin abah buat kali terakhir.

Kali terakhir aku memeluk ayah dan merasai kehangatan tubuh tua abah ialah semasa hendak kembali ke utara selepas hari raya aidul fitri yang lalu, hari raya aidul adha tidak dapat kembali kerana 'comitted' dengan ibadah qurban di taman perumahan tempat aku tinggal dan anak akan menduduki SPM. Aku berjanji dengan mereka untuk kembali meziarahi mereka pada tahun baru cina. TAPI ITU SUDAH TERLAMBAT RUPANYA.

Aku tiba ke rumah keluarga aku dalam pukul 10.00 pagi (kakak & adik aku dah sampai awal lagi, aku paling jauh), selepas menatap wajah abah, urusan pengurusan mayatpun dibuat kerana abah pernah pesan agar disegerakan pengkebumiannya. Aku juga puas hati kerana untuk perjalanan abah dari alam fana ini ke alam barzah berjalan lancar. Aku yang mengunting kain kapan, menyusun kapas-kapas, menabur kapur barus dan air mawar diatas kain kapannya manakala abah dimandikan oleh menantu, cucu dan sanak saudara, orang luar hanya sebagai pemberi tunjuk ajar kepada kami, begitu juga mengusung abah ke tanah berkuburan, menimbus tanah kubur semua diuruskan oleh anak cucu dan sanak saudara abah. Sebelum solat zuhur semuanya selesai. Alhamdullilah.

Sepanjang perjalanan dari  Utara ke Pantai Timur, sebak ku iringi dengan ingatan semasa kanak-kanak aku dengan abah, bagaimana aku disuruh pijak belakangnya bila balik sekolah, tidur dibawah ketiaknya, lawak 'bodohnya' yang membuatkan kami ketawa, gurau senda, cerita pengalamannya semasa bertugas juga tengkingnya kerana gangguan suara-suara kami semasa dia tidur petang.

Bulan Ramadhan menjadi cukup meriah dan dinantikan kerana abah akan memasak resepi kegemaranya yang juga menjadi kegemaran kami, anak-anaknya, hingga kadang-kadang membuat emak berkecil hati apabila kami memuji masakan abah. Emak akan cakap ' apa tak sedapnya sekerat botol rempah ratus habis hingga lari budget bulanan mak'! Bila menjelang tujuh liko pulak, abah akan beli berpapan-papan 'mercun papan' dan abah akan pasang panjang-panjang dua tiga baris dan akan bakar serentak. Uhh bising sungguh!

Bila aku meningkat remaja, sebagai anak perempuan sentuhan dengan abah semakin kurang sebab emak selalu pesan agar jaga batasan gurauan dengan abah. Lepas SRP aku sambung belajar di sekolah berasrama, lepas tu ke pengajian tinggi dan bekerja (sepanjang itu aku dah hidup sendiri), kemesraan dengan keluarga terutama dengan abah dah makin kurang, terkilan juga rasanya kerana aku kurang berbakti dengan abah juga emak, kiriman wang dan pulang sekali sekala itu tidak cukup rasanya untuk membalas segala pengorbanan mereka.

Abah telah selamat bersemadi, semuga Allah menerima segala amal jariah abah dan mengampunkan segala dosa-dosa abah dan ditempatkan abah dikalangan orang-orang yang beriman.

BUAT ABAH , ATUK-ATUK DAN NENEK-NENEK AKU.

Kepada arwah-arwah :
Mat bin Derahman (Lijah-emak abah)
Abdullah bin Abu Bakar
Mariam
Lijah

ALFATIHAH

Amin